Google Maps Memperluaskan Mod Motorsikal ke Thailand, Singapura, Vietnam dan Negara-Negara Asia Lain
Google Maps pada minggu ini telah melancarkan mod navigasi untuk motorsikal di beberapa buah negara Asia yang popular dengan kenderaan bertayar 2 ini.
Pada mod motorsikal, waktu perjalanan akan disesuaikan mengikut kelajuan motorsikal dan skuter serta menawarkan alternatif jalan lebih pintas dan lorong-lorong yang hanya boleh diakses oleh kenderaan kecil seperti motorsikal. Pada Disember yang lalu, mod ini telah dilancarkan di India yang baru-baru telah mengatasi China sebagai pengguna kenderaan bertayar 2 terbesar di dunia.
Tidak seperti aplikasi navigasi yang lain yang memberikan arahan pemanduan mengikut nama jalan, ia sebaliknya ia akan memberikan arahan merujuk kepada mercu tanda yang terdapat pada kawasan sekitarnya. Misalnya sekiranya anda berada di Hospital Kuala Lumpur, navigasi akan memberikan arahan seperti belok kanan di Hospital Kuala Lumpur berbanding belok kanan di Jalan Kebun.
Pada majlis pengumuman aplikasi ini di Thailand, Ketua Bahagian Produk Google Maps, Krish Vitadevara berkata matlamat bagi pemandu diberi panduan mercu tanda adalah untuk mereka mudah mengingati jalan sebelum memulakan navigasi memandangkan negara tersebut mempunyai banyak lorong-lorong dan jalan tanpa nama yang spesifik.
Mod motorsikal pada Google Maps kini telah tersedia bagi pengguna di Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam yang boleh diakses melalui kemaskini bagi Google Maps di Android. Walaubagaimanapun Google masih lagi belum mengumumkan secara terperinci samada navigasi ini akan tersedia pada peranti iOS atau laman web atau merancang untuk memperluaskan aplikasi ini ke pasaran negara barat yang lain.
Sumber: The Verge
Komen