Apakah Itu “Corrupted File” Dan Adakah Ada Cara Untuk Mendapatkannya Kembali?

172

“Corrupted File” atau dalam bahasa mudahnya fail yang rosak biasanya jarang berlaku dan terjadi pada komputer yang moden dan mempunyai langkah keselamatan yang baik. Tetapi apabila ia terjadi, sudah pastinya ia umpama mimpi ngeri buat anda, betul tak?

kredit : HTG

Untuk itu, ayuh kita lihat apa penyebab fail ini menjadi rosak dan bagaimana anda boleh mencegahnya serta apa yang boleh anda lakukan apabila ia sudah berlaku.

#1 : Kenapakah Sesuatu Fail Itu Menjadi Rosak?

kredit : HTG

Kebiasaannya, sesuatu fail itu menjadi rosak setelah ia ditulis pada disk. Hal ini boleh berlaku melalui pelbagai cara dan selalunya ia terjadi apabila sesuatu aplikasi itu tidak berfungsi dengan betul semasa anda mahu menyimpan atau mencipta fail tersebut.

Berikut adalah beberapa contoh aplikasi yang menyebabkan fail ini menjadi rosak:

  • Aplikasi Office mengalami gangguan semasa anda mahu menyimpan dokumen.
  • Aplikasi mampatan (compression) mengalami masalah semasa anda mahu mengarkib.
  • Aplikasi sandaran anda mungkin ada masalah semasa anda mahu melakukan sandaran (backup).
  • Pelayar (browser) anda atau aplikasi muat turun yang lain mungkin menghadapi masalah semasa mahu menulis fail pada disk. 

Selalunya, aplikasi-aplikasi ini akan menyedari sekiranya ia mempunyai masalah dan akan memberitahu anda bahawa ada sesuatu yang tidak kena/masalah dengan fail tersebut. Ia kemudiannya akan memberi anda peluang untuk mencuba (menyimpan/mencipta ia) lagi.

Kadang-kadang, anda tidak akan menyedari bahawa ada yang salah dengan fail itu sehinggalah anda mahu membuka fail itu kemudiannya. Dan sudah pastinya, masalah ini terjadi mungkin disebabkan oleh faktor lain juga selain daripada yang dinyatakan di atas.

Selain itu, apabila anda mematikan komputer anda, ia sepatutnya menutup mana-mana fail yang anda buka dengan betul (atau memberi anda peluang untuk melakukannya/menutupnya).

Sekiranya ini tidak terjadi, katakan anda kehilangan kuasa (bekalan elektrik terputus) atau komputer anda tiba-tiba rosak, anda tidak akan mempunyai peluang untuk menutup sesuatu fail itu dengan betul. Ini akan menyebabkan fail-fail yang dibuka itu tadi menjadi rosak bukan sahaja pada dokumen anda bahkan pada keseluruhan sistem operasi fail anda.

Read More  Mengapa Microsoft Membuang 3D Pinball daripada Windows dan Bagaimana Ingin Mendapatkannya Semula

Seterusnya, masalah dengan hard disk anda juga akan menyebabkan sesuatu fail itu menjadi rosak. Sebagai contoh, katakan sesuatu yang buruk telah terjadi pada bahagian fizikal drive anda, masalah fail anda yang rosak itu akan menjadi jauh lebih besar dan lebih teruk.

Kadang-kadang, masalah yang kecil seperti fail yang tertindih atau lost cluster juga akan menyebabkan fail anda menjadi rosak dan tidak semestinya ia berpunca daripada hard disk yang rosak. Dan akhir sekali, sesuatu fail itu juga akan menjadi rosak disebabkan oleh serangan malware dan juga virus meskipun ianya kelihatan lebih seperti disengajakan berbanding tidak disengajakan.

#2 : Bagaimana Hendak Melindungi Fail Anda Daripada Rosak?

kredit : HTG

Jika anda mahu melindungi fail anda daripada menjadi corrupted atau rosak, pertama sekali, apa yang boleh anda lakukan ialah pastikan anda melakukan sandaran (backup) pada komputer anda sekerap yang mungkin.

Ambil perhatian sekiranya anda mahu bergantung dengan penyimpanan dalam awan (cloud) serta melakukan sinkronisasi untuk semua fail anda dalam melakukan sandaran, ia sebenarnya tidak mencukupi.

Ini kerana, jika anda mempunyai fail yang rosak pada local disk anda dan kemudiannya anda melakukan sinkronisasi untuk kesemua fail anda, anda sebenarnya tidak melakukan sandaran yang baik untuk kesemua fail tersebut. Anda telah melakukan sandaran untuk fail yang rosak dan bukannya fail yang baik.

Sekiranya anda benar-benar mahu menggunakan storan awan untuk melakukan sandaran, pastikan anda mempunyai pilihan untuk melihat fail tersebut dalam versi sebelumnya seperti yang terdapat pada Dropbox.

Berbalik kepada topik tadi, sudah pastinya cara yang terbaik untuk melakukan sandaran ialah dengan menggunakan File History (pada Windows), Time Machine (pada macOS) atau Backblaze di mana kesemua alat ini membenarkan anda untuk memulihkan beberapa fail untuk versi sebelumnya.

Read More  Fungsi CONCATENATE : Menggabungkan Perkataan Dari 2 Columns Berbeza

Seterusnya, anda juga perlu memastikan bahawa komputer anda dilindungi dari sebarang virus dan juga perisian yang berniat jahat. Ini termasuklah anda perlu menjalankan aplikasi/perisian antivirus yang baik, tetapi dalam masa yang sama anda juga perlu berhati-hati ketika melayari Internet dan memuat turun sebarang fail.

Dan akhir sekali, anda juga mungkin boleh mempertimbangkan untuk menggunakan uninterruptable power supply (UPS) untuk membantu melindungi komputer anda daripada mati (shut down) dengan segera apabila komputer anda kehilangan kuasa.

UPS ini berfungsi sebagai sandaran kepada bateri yang mana ia akan memberikan anda bekalan kuasa sekiranya anda kehilangan kuasa utama. Kebiasaanya, ia akan membekalkan anda kuasa untuk beberapa minit sehingga satu jam atau lebih supaya anda mempunyai masa yang cukup untuk mematikan komputer anda dengan betul.

Dengan adanya UPS ini, ia bukan sahaja boleh membantu mencegah fail anda daripada rosak sekiranya anda kehilangan kuasa secara tiba-tiba tetapi ia juga boleh membantu mengatasi masalah hardware yang mungkin terjadi disebabkan oleh komputer anda yang mati dengan mengejut.

#3 : Apa Yang Boleh Anda Lakukan Sekiranya Fail Anda Sudah Rosak?

kredit : HTG

Sekiranya fail anda sudah rosak atau anda mendapat fail yang rosak dari sesuatu sumber, cara terbaik yang boleh anda lakukan ialah cuba mendapatkan fail itu dari sumber itu semula.  Muat turun fail itu sekali lagi dari pautan yang anda dapatkannya tadi atau anda boleh meminta seseorang menghantar semula fail itu kepada anda sekiranya anda mendapatkan fail itu dari seseorang.

Dalam kes di mana fail tersebut menjadi rosak disebabkan oleh penutupan (shutdown) yang tidak dijangka, kemas kini yang tidak sempurna atau malware, anda boleh mencuba sesuatu seperti System File Checker di Windows. Ia akan membantu mengimbas sistem anda untuk sebarang sistem fail yang rosak dan kemudian menggantikannya dengan yang asal.

Read More  Netflix Lancarkan Muat Turun Pintar (Smart Download) untuk Pengguna Telefon Bimbit

Sebelum anda melakukannya, adalah lebih baik sekiranya anda mengatasi/membaiki masalah itu dahulu sekiranya anda mengetahui puncanya. Sebagai contoh, katakan jika ianya disebabkan oleh malware, anda harus memastikan bahawa anda mengalih keluar malware tersebut dahulu. Sekiranya anda merasakan ianya berpunca daripada kemas kini yang tidak sempurna, anda perlu menjalankan kemas kini itu semula.

Sekiranya anda rasa fail yang rosak itu adalah dari dokumen yang anda telah cipta, malangya pilihan yang anda ada sangatlah terhad. Sesetengah aplikasi seperti Microsoft Office (anda bernasib baik jika anda menggunakanya) akan autosave beberapa versi dokumen anda, jadi anda boleh membuka dokumen anda yang belum rosak (versi sebelumnya).

Jika anda tidak mempunyai kebolehan untuk melihat atau membuka dokumen anda pada versi yang terdahulu (mungkin disebabkan Ms Office versi lama), anda sekurang-kurangnya akan dapat membaiki fail tersebut atau memulihkan teks tersebut. Ini kerana Microsoft Office menawarkan beberapa alat untuk anda memulihkan dokumen yang rosak atau hilang sama seperti pada program lain.

Meskipun anda hanya boleh memulihkan teks daripada dokumen tersebut, ia sekurang-kurangnya dapat menjimatkan masa anda berbanding jika anda perlu mencipta dokumen itu semula.

Selain itu, terdapat beberapa aplikasi di luar sana juga yang mendakwa mereka boleh memulihkan beberapa fail sekiranya sesuatu fail tersebut menjadi rosak dan sebagainya. Sesetengahnya adalah percuma manakala sesetengahnya pula memberikan anda versi percuma untuk beberapa hari atau minggu dan kemudiannya anda perlu bayar sekiranya mahu meneruskan mengunakan aplikasi tersebut.

Anda boleh menggunakan kesemua aplikasi ini tetapi anda harus ingat, meskipun ia berbayar, tidak semestinya ia berfungsi dengan baik. Dalam kebanyakan kes, ianya tidak berfungsi dengan baik malah dalam sesetengah kes, aplikasi tersebut adalah perisian berniat jahat/malware. Menakutkan betul tak? Oleh itu, berhati-hatilah dalam memilih aplikasi atau perisian yang mendakwa mereka boleh memulihkan fail yang rosak ini.

Sumber : How To Geek

Anda mungkin juga berminat dengan Artikel lain dari pengarang

Komen

Sebentar...