Kerajaan Tumpu Agenda Ekonomi Digital Untuk Pertingkat Kehidupan Rakyat

383

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) — Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada agenda Ekonomi Digital di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur (CCI) bagi mengangkat kehidupan rakyat menerusi usaha merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dengan luar bandar.

Dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016 yang dikeluarkan hari ini, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) berkata inisiatif di bawah NKEA itu terus mencatat penambahbaikan dari segi infrastruktur capaian internet bertujuan merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dengan luar bandar.

“Pelancaran lengkap port untuk Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa Kedua (HSBB2) seperti termaktub dalam perjanjian bersama dengan Telekom Malaysia, akan selesai menjelang Disember 2017 manakala sejumlah 390,000 port berkelajuan 100 megabit sesaat disasar untuk dipasang di semua bandar utama.

“Selain itu sasaran bagi port Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) adalah bagi pelaksanaan 317,000 port di kawasan pinggir bandar,” katanya.

Menurut laporan itu, bilangan port yang membekalkan akses kepada HSBB2 berkelajuan 100 megabit sesaat mencapai sebanyak 281,262 port pada tahun 2016, melebihi sasaran keseluruhan tahunan sebanyak 240,000 port.

Liputan jalur lebar dalam negara turut meningkat dengan penambahan 127,546 port yang membekalkan jalur lebar berkelajuan tinggi di pinggir bandar.

Sementara itu, sejajar usaha kerajaan mengembangkan perkhidmatan e-kerajaan, transaksi dalam talian akan memberi tumpuan dengan memperkenalkan Sistem Pengurusan Dokumen Secara Digital (DDMS) 2.0 kepada 30 agensi baharu menjelang akhir tahun 2017.

Laporan itu menyatakan, sistem berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan demi kepentingan orang awam, memastikan ketelusan serta mengurangkan pembaziran kertas.

Pada masa ini, sebanyak 33 kementerian dan agensi menggunakan DDMS 2.0 berkenaan.

Read More  Ya, Youtube Mengalami Gangguan Akses!

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian lain untuk membangunkan strategi bagi mendorong lebih ramai orang awam berurusan secara dalam talian,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Anda mungkin juga berminat dengan Artikel lain dari pengarang

Komen

Sebentar...