Usahawan Perlu Ubah Pemikiran, Terap Teknologi Dan Inovasi Dalam Perniagaan

412

ALOR SETAR, 23 Mei (Bernama) — Usahawan kecil dan sederhana di negara ini disaran mengubah pemikiran dan cara lama dalam berniaga dengan meneroka pasaran luar negara khususnya ASEAN melalui pengaplikasian teknologi dan inovasi dalam perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata, usahawan pada masa kini tidak boleh hanya bergantung kepada konsep ‘low cost producer’ sebaliknya mencari kelebihan lain yang membolehkannya menembusi pasaran antarabangsa.

“Kita nak bangunkan syarikat yang mempunyai kandungan teknologi, untuk bersaing di peringkat antarabangsa kita perlu menghasilkan produk yang berkualiti dari segi nilai dan persepsi,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan MTDC Road2Growth di sini, hari ini.

MTDC adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan ditubuhkan untuk menggalakkan penggunaan teknologi oleh syarikat tempatan melalui pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan teknologi asing.

Katanya, pasaran ASEAN seperti Indonesia berpotensi dijadikan sasaran untuk meluaskan pasaran memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar negara itu melebihi RM1 trilion setiap tahun.

“Malah ketika ini, kita mempunyai lebih 20 syarikat yang sudah beroperasi dan mengeksport produk ke Indonesia,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1993, MTDC berjaya membantu kira-kira 500 syarikat tempatan, sama ada yang baru beroperasi atau yang telah mula bertapak dan mencipta nama untuk menjalankan kajian dan penyelidikan yang berpaksikan kepada produk inovasi.

Jelasnya pihaknya juga menyasarkan untuk meluluskan dana sebanyak RM170 juta kepada syarikat berasaskan teknologi tahun ini yang akan disalurkan melalui enam dana.

Dana terbabit ialah Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) sebanyak RM40 juta, Dana Pengambilalihan Teknologi (TAF) (RM10 juta), Dana Permulaan Perniagaan (BSF) (RM15 juta), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF) (RM15 juta), Dana Pengembangan Perniagaan Bumiputera (BEF) (RM75 juta) dan Dana Pembangunan Teknologi Halal (RM15 juta).

Read More  3 Aplikasi Mobile Yang Membantu Menukarkan Ucapan Kepada Teks

Lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar, penyelidik dan usahawan berasaskan teknologi dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menghadiri MTDC Road2Growth yang berlangsung selama sehari di TH Hotel & Convention Centre dekat sini.

Para peserta didedahkan dengan khidmat nasihat dan nilai tambah MTDC, sama ada dari segi nasihat membangunkan perniagaan, pemasaran produk, kewangan dan teknikal.

Sumber dari BERNAMA

Anda mungkin juga berminat dengan Artikel lain dari pengarang

Komen

Sebentar...